2.0       Isi buku
Buku Gagasan Alaf Baru: Mencetus Kebangkitan, Membina Keagungan ini banyak membincangkan perkara-perkara yang penting. Berdasarkan kajian kami, buku ini menggunakan tema “Alaf Baru” sebagai satu perkara yang ingin penulis bincangkan. Beliau melihat bahawa alaf baru akan membawa perubahan baru kepada Malaysia.
            Penulis menggunakan pelbagai pendekatan atau disiplin dalam penulisan beliau. Antaranya ialah dari segi kekeluargaan, keadaan sosial semasa, ekonomi serta politik. Beliau juga ada membincangkan sesetengah bab dengan mengaitkan isu tersebut dengan perihal sejarah, serta sejarah Islam seperti sejarah Nabi Muhammad S.A.W.
            Bagi menghasilkan buku ini, penulis telah menggunakan pelbagai jenis sumber rujukan. Setiap bab menggunakan sumber rujukan yang tertentu yang berkaitan dengan bab tersebut. Selain dari menggunakan buku-buku ilmiah hasil karya penulis luar negara, Wan Lin Ozman Wan Omar juga menggunakan hasil karya penulis tempatan. Antaranya ialah Peribadi (1983) hasil nukilan Hamka yang diterbitkan di Kuala Lumpur oleh Penerbitan Pusaka Antara.
            Selain itu, beliau juga menggunakan buku edisi penterjemahan sebagai bahan rujukannya seperti Salah Faham Terhadap Islam (Edisi Terjemahan) yang merupakan hasil karya Muhammad Qutb (1987) dan diterjemahkan oleh Yusoff Zaty Yacob. Penulis juga menggunakan beberapa kertas kerja yang dibentangkan dalam kongres atau seminar tertentu. Contohnya, dalam bab 2, beliau menggunakan kertas kerja yang bertajuk “Pembudayaan Sains dan Teknologi Dalam Masyarakat Melayu Menjelang Tahun 2020” oleh Wan Ramli b. Wan Daud, Shaharir b. Mohamed Zain, dan Baharuddin bin Yatim yang telah dibentangkan dalam Kongres Cendekiawan Melayu III, yang telah berlangsung pada 3hb hingga 4hb Disember 1992 di Shah Alam.
            Bagi mengaitkan hasil penulisan beliau dengan situasi semasa, beliau juga menggunakan pelbagai artikel yang diperoleh dari beberapa surat khabar tempatan seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian. Antaranya ialah artikel “931 Gadis Bermasalah Terlibat Aktiviti Dadah” yang telah dikeluarkan oleh Utusan Malaysia pada 28 Disember 1995, “Lelaki Melayu Paling Ganas” dari Mingguan Malaysia pada 6hb Julai 1997 dan“Read this and Weep”, keluaran New Straits Times pada 26hb April 1999.
            Dengan menggunakan kesemua sumber-sumber yang relevan ini, penulis berjaya menulis buku yang mempunyai isi yang padat dengan fakta serta ilmu pengetahuan berkaitan perihal negara serta keadaan global. Justeru, seiring dengan tajuknya, “Gagasan Alaf Baru: Mencetus Kebangkitan, Membina Keagungan” sememangnya dapat mencetus kebangkitan semangat kenegaraan yang terpendam dalam diri pembaca di samping membantu membina keagungan negara secara tidak langsung. Sememangnya tepat seperti yang telah penulis coretkan pada awal muka surat buku ini iaitu penulis mendedikasikan buku ini kepada warga patriotik yang cintakan kebenaran dan keadilan serta buat generasi muda yang bakal menjadi pemimpin dan pewaris negara masa hadapan.

0 comments: