3.5 Bab 5: Revolusi Pendidikan Era 2000: Menangani Impak Dan Cabaran

Dalam bab ini, penulis lebih menekankan kepada pendidikan, sebagaimana yang kita ketahui bahawa pendidikan di Malaysia adalah diwajibkan dan kepada sesiapa yang berumur 17 tahun ke bawah mesti pergi menghadiri kelas di sekolah-sekolah. Sebagaimana yang ada pada hari ini pula yang ditulis dalam bab ini adalah dunia pendidikan kita kini berada di persimpangan jalan kerana perubahan besar yang sedang berlaku dalam bidang sains dan teknologi sekarang dijangka mencetuskan dilema dan tantangan besar ke atas rupa bentuk sistem pendidikan negara antaranya adalah negara sekarang terkena gelombang Ketiga dalam pembangunan tamadun manusia selepas melalui Revolusi Pertanian (Gelombang Pertama) dan Revolusi Industri (Gelombang Kedua). Salah satu perkembangan utama dalam Gelombang Ketiga ini ialah berlakunya ledakan informasi yang melimpah-ruah hinggakan manusia sukar menghadapinya.
Suatu masa nanti, akan wujud teknologi yang dapat mengajar apa sahaja kepada sesiapa pun pada bila-bila masa Malah program komputer ini boleh mengajar seseorang dari peringkat ke peringkat sehinggalah dia boleh menguasai sesuatu mata pelajaran tersebut. Perubahan dramatik dalam dunia pendidikan ini dapat dilakukan melalui kemajuan pesat dalam bidang teknologi iaitu optik gentian dan digitalisasi.
            Kedua-duanya diperlukan untuk jaringan-jaringan menyalurkan perkhidmatan elektronik ke rumah-rumah, pejabat-pejabat dan sekolah-sekolah. Teknologi interaktif membolehkan seseorang pelajar mempelajari sesuatu melalui gerak balasnya sendiri tanpa perlu bergantung pada gurunya. Hal ini membolehkan pelajar menentukan apa, banyak mana, bagaimana dan lama mana dia akan belajar. Program ini boleh dipersembahkan melalui pelbagai wahana sama ada tayangan video, animasi, teks, suara digital atau grafik; hadnya hanya ditentukan mengikut keluasan dan kekuatan imaginasi manusia yang menciptakannya (Computimes, New Straits Times, I5 November 1993). Pembelajaran interaktif ini telah pun diperkenalkan oleh beberapa buah institut pengajian tinggi di dunia.
            Melalui aplikasi teknologi canggih dalam bidang pembelajaran ini, peranan sekolah akan turut berubah dan menjadi bertambah luas. Revolusi teknologi pembelajaran ini tentunya akan mengakibatkan berubahnya peranan dan fungsi guru. Guru akan menjadi pemandu (guides) dan jurulatih untuk membantu para pelajar menggunakan pelbagai perkakasan baru dan  perisian-perisian pendidikan. Kalau dahulunya guru-guru bergantung pada buku teks untuk menyebarkan ilmu, pada masa depan mereka sebaliknya akan memilih beraneka jenis perisian pendidikan antaranya adalah pembelajaran di dalam bilik darjah yang menggunakan media interaktif contohnya videodisks, compact disk formats, email CD-ROM dan banyak lagi.
            Di semua universiti, kebanyakan pensyarah juga telah banyak mengguna pakai pelbagai perkakas perisian dalam pembelajaran mereka antaranya menghantar nota-nota ke dalam blog, portal, email atau sebagainya untuk dirujuk oleh pelajar bagi menyenangkan lagi pembelajaran. Dalam pandangan Islam, keguruan merupakan profesion yang amat mulia. Namun, kemajuan sains dan teknologi akan mencabar hebat status keguruan Islam. Bayangkan jika kanak-kanak boleh mempelajari cara-cara membaca al-Quran, bab fardhu ‘ain seperti sembahyang dan bersuci melalui program-program  pendidikan elektronik yang boleh berinteraksi dengan mereka seperti hubungan di antara seorang ustaz dengan anak muridnya. Dalam keadaan ini, pastinya fungsi guru agama akan berubah corak, mungkin pengajian tradisional seperti ini akan terhakis.
                        Bagi mempersiapkan generasi pelajar menangani cabaran-cabaran baru sejajar dengan tuntutan era informasi abad 21, kita perlu melakukan pembaharuan semula sistem pendidikan negara secara total. Pembaharuan Pendidikan Total ini hendaklah melibatkan pembaharuan semua institusi pendidikan yang sedia ada, baik bercorak formal mahu pun tidak formal. Oleh itu, gerakan pembaharuan ini menuntut pindaan kepada Akta Pendidikan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan dalam beberapa segi yang bersesuaian.
Dengan itu, Pelan Tindakan Pembaharuan Pendidikan Total ini dalam konteks mengurus letusan revolusi informasi tersebut hendaklah di antara lain merangkumi strategi-strategi utama. Pertamanya, menjalankan kajian strategik yang bersifat futuristik tentang bagaimana sistem pendidikan negara dapat memanfaatkan kemajuan dalam teknologi maklumat tersebut. Kedua, kita perlu menyediakan tapak prasarana jaringan optik gentian dan digitalisasi di seluruh negara untuk membolehkan kita mewujudkan “lebuh raya informasi”. Ketiga, pendidikan guru seperti yang telah diterangkan sebelum ini juga akan berubah ekoran beralihnya peranan serta  fungsi guru dalam era maklumat yang akan datang.
Keempat, para pelajar di Malaysia hendaklah dipersiapkan mental mereka untuk menerima revolusi pendidikan ini secara beransur-ansur. Strategi kelima ialah penggunaan komputer peribadi dan alat-alat teknologi yang berkaitan perlu diperluaskan di segenap lapisan masyarakat untuk memastikan kejayaan rancangan besar ini. Strategi terakhir iaitu keenam pula ialah kita hendaklah mengeluarkan lebih ramai tenaga pakar dalam pelbagai bidang yang mahir menggunakan teknologi interaktif supaya kita boleh mencipta perisian-perisian pendidikan kita sendiri.

0 comments: